• 04 Mac 2021 | 20 Rejab 1442

MPKK Nadi Kerajaan Dalam Komuniti

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau singkatannya MPKK merupakan nadi bagi melancarkan gerak kerja kerajaan di peringkat masyarakat kampung. Tanpa kerjasama mereka, tentunya agenda kerajaan terutama berkaitan kebajikan akan tergendala dan lumpuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, MPKK ibarat tangan kepada kerajaan. 

"Banyak hal-hal berkait dengan komuniti, melalui merekalah diselesaikan. Tanpa komitmen MPKK, kerajaan negeri bagai kepatahan tangan.

Ahmad Shah ketika memberi ucapan dalam Majlis Keraian di Paya Bunga Hotel.

"Tiada ungkapan selayaknya yang boleh saya berikan kepada MPKK selain dari ucapan terima kasih dan mendoakan agar Allah SWT melimpahi seribu kerahmatan buat para MPKK," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis keraian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bandar bersama seluruh jawatankuasa MPKK Dun Bandar 2020 di Hotel Paya Bunga, semalam.

Tambah beliau lagi, terlalu besar pengorbanan pihak MPKK. Mereka perlu berhadap dengan pelbagai karenah masyarakat. Kadang-kadang dipuji, namun seringkali dikeji. 

Ahmad Shah yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar itu turut mengharapkan agar anggota-anggota MPKK yang dilantik dapat membaiki kelemahan dan eratkan lagi kerjasama dalam usaha Terengganu mencapai hasrat pemerintahan maju, berkat, dan sejahtera.

Syed Husin (Pengerusi MPKK Tok Kaya) meneri hadiah cabutan bertuah daripada YB Ahmad Shah.

"Kita mahukan keberkatan dalam kemajuan. Dari keberkatan, akan terhasilnya ketenangan yang akan melahirkan kesejahteraan dalam komuniti," katanya.

Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah YM Engku Mohd Firdaus Engku Alam, Mantan Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Encik Mohd Zamari Abu Zih, Mantan Penghulu Mukim Chabang Tiga dan Pulau-Pulau.


Tag: