• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

MPKK Padang Jerat Terima Lampu Pencahayaan Mudah Alih Dari TNB

Wan Sukairi Wan Abdullah.
Oleh: Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Jerat, Pulau Musang adalah MPKK pertama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima lampu pencahayaan mudah alih daripada TNB.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerjasama agensi kerajaan dalam membantu memudahkan urusan komuniti kampung disambut baik oleh rakyat Terengganu.

"Urusan seharian penduduk akan berjalan lancar apabila mendapat pertolongan semua pihak.

Jelasnya, masalah pencahayaan di kawasan kampung sering menghantui masyarakat apabila kebanyakan tempat tidak dilengkapi dengan sistem yang baik.

"Alhamdulillah, kita amat berterima kasih di atas sumbangan lampu mudah alih ini yang akan memudahkan lagi urusan pengebumian waktu malam.

"Dan juga kita boleh gunakan di tempat-tempat lain jika ada kecemasan di waktu malam kerana ia mudah dibawa ke mana-mana," ujarnya.

Aktiviti gotong-royong penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika menerima lampu mudah alih untuk kegunaan penduduk setempat daripada Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, Nazeri Puteh.

Hadir sama, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Wakaf Mempelam, Radzali Abd Ghani, Pengerusi MPKK Padang Jerat, Rosdi Ibrahim serta ahli-ahli jawatankuasanya.

Menurut Rosdi, pihak mereka amat berbesar hati dengan keprihatinan pihak berkuasa yang sudi membantu masyarakat kampung.

Ujarnya, pemberian itu sangat bermanfaat dan memudahkan mereka untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

"Saya selaku Pengerusi MPKK Padang Jerat amat bersyukur atas sumbangan lampu mudah alih ini.

"Akan dimanfaat sebaiknya untuk anak mukim saya dan terima kasih juga pada YB (Yang Berhormat) yang turut bersama turun padang dalam melaksanakan gotong-royong ini," tambahnya.

Membersihkan kawasan tanah perkuburan.


Tag: