• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

MPKK Perlu Bantu Kerajaan Kumpul Maklumat Banjir



 Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Oktober- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan mengumpul data dan maklumat penduduk kampung selengkapnya di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, MPKK yang baru dilantik perlu bersedia bagi memberi perkhidmatan yang terbaik sebagai mewakili kerajaan.

"Perlu bagi MPKK mempunyai data dan maklumat penduduk khususnya pesakit melarat dan ibu mengandung supaya golongan ini diutamakan sekiranya berlaku bencana banjir," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan  Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri mesyuarat persiapan banjir bagi sektor Jerangau yang diadakan di Balairaya Kampung Dendang, Bukit Besi, semalam.

Katanya, MPKK juga diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin kerana apa yang dilakukan termasuk keupayaan dalam mengurus bencana banjir akan dinilai rakyat.

“Jangan terlalu cemas walaupun kita baru kali pertama berperanan sebagai kerajaan. Setiap kritikan, teguran serta pandangan perlu diterima bagi menjadikan kita (kerajaan) dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Jika sebelum menjadi kerajaan kita banyak melakukan kerja di belakang tiba masanya untuk kita berada di lapangan. Apabila menjadi kerajaan maka banyaklah perkara yang perlu kita pelajari dan diharapkan wujudnya jalinan kerjasama diantara pihak kerajaan dan semua agensi yang terbabit bagi memantapkan peranan bagi menguruskan banjir di Peringkat DUN Bukit Besi ini," ujarnya.

Tag: