• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MPKK Sri Bandi Juara Sulung Piala Kijal Sejahtera


Pasukan MPKK Sri Bandi bergambar selepas penyampaian hadiah.
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 22 Oktober - Pasukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Bandi menjuarai Piala Kijal Sejahtera dalam pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Tertutup DUN Kijal di Padang Bank, Kampung Penunjuk, kelmarin.

Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai, medal, hamper dan piala pusingan dalam kejohanan yang julung kali diadakan.

Kejohanan anjuran Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan kerjasama pemuda Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i- MiTS) dan Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Kijal mendapat sambutan baik di kalangan penduduk kampung dengan penyertaan daripada 25 pasukan bola sepak terdiri dari ahli MPKK kampung berdekatan dan lima pasukan jemputan.

Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh yang berucap di majlis perasmian menasihati para pemain agar turut mengejar amalan untuk ke akhirat sepertimana mengejar bola di padang.

Hazri Jusoh merasmikan kejohanan dengan nasihat dan pesanan.
"Tidak salah bermain bola sepak, asalkan tidak melupakan akhirat. Saya juga pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat universiti ketika belajar di Mesir dahulu," katanya.

Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kemaman, Ustas Alias Hamid yang merasmikan penutup kejohanan tersebut.

Dalam kejohanan itu, pasukan RANACO berjaya bergelar naib juara manakala tempat ketiga dimenangi pasukan MPKK Meraga Beris.


Tag: