• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

MRC Sumbang Bantuan Air Bernilai RM270,000 Di Tepoh, Buluh Gading

KUALA NERUS, 2 September - Sejumlah RM270,000 disumbang melalui program Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air sejak sejak 23 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, bantuan tersebut direalisasikan dengan kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading (Buluh Gading Care) dan Pertubuhan Kebajikan Komuniti DUN Tepoh (Tepoh Care).

Katanya, penduduk-penduduk di Buluh Gading dan Tepoh yang terlibat dengan krisis bekalan air di daerah Kuala Nerus sejak 2 Ogos lalu akibat daripada paip berukuran 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

“Sumbangan ini merangkumi perbelanjaan bagi penyediaan empat buah lori tangki air, 206 unit tangki statik selain daripada 15 unit enjin air dan 16 unit pam air, 3,000 kotak air mineral termasuk kos sewaan lori dan trak untuk pengagihan air bersih ke kawasan-kawasan yang terjejas.

“Kos itu juga termasuk kerja-kerja pemasangan paip sementara di beberapa lokasi bagi sekitar 50,000 orang penduduk di dua kawasan terlibat mendapatkan bekalan air bersih sepanjang krisis ini berlanjutan,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Mohd Ridhuan Hashim dan ADUN Tepoh, Ustaz Hishamudin Abdul Karim.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan usaha terdahulu MRC yang telah mengeluarkan dana RM400,000 bagi membantu lebih 27,000 akaun yang terjejas untuk mendapatkan air sama ada air bersih dan air minuman.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MRC kerana hadir menyalurkan bantuan tepat pada masanya.

"Saya yakin dengan krisis air yang melanda buat kali kedua ini, kerajaan negeri sudah bersedia dengan meluluskan bantuan segera sebanyak RM2.79 juta bagi menghadapi krisis air ini," katanya ketika dihubungi.