• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mualaf Terima Bantuan Rai Sambutan Tahun Baru Cina

KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Golongan mualaf di negeri ini menerima bantuan awal untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina (TBC) bersama keluarga Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin menjelaskan, bantuan keseluruhan berjumlah RM59,000 kepada 173 orang saudara baru itu dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai hari ini.

"Bantuan itu sepatutnya dibayar akhir bulan ini, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan kesusahan dihadapi berikutan pelaksanaan PKP, kita setuju untuk membuat pembayaran awal bagi meringankan bebanan mereka.

"Walaupun golongan itu berlainan agama, tetapi mereka juga perlu membuat persediaan membeli barangan keperluan untuk meraikan TBC bersama keluarga," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kecemasan berjumlah RM3,000 kepada mangsa kebakaran, Mohd Johan Sidek, 49, di Kampung Merbau Patah, di sini, hari ini.

Kediaman Mohd Johan yang juga pengusaha kedai makan di Pasar Borong Gong Pauh, terbakar kira-kira jam 3 petang, semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ke atas Mohd Johan dan 13 orang ahli keluarga termasuk dua bayi.

M Rozi berkata, selain saudara baru, bantuan bulanan kepada golongan asnaf fakir membabitkan seramai 2,195 orang juga turut terbabit dengan pembayaran awal membabitkan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM761,500.

Jelasnya, MAIDAM juga dalam proses untuk membuat pembayaran awal kepada golongan asnaf yang menerima bantuan dibawah kategori sara hidup.

"Sejak awal Januari lalu, MAIDAM sudah meluluskan bantuan sara hidup kepada 1,399 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta," katanya.