• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muaz, Nur Jannah Johan Qari, Qariah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 April – Muhamad Muaz Mokhtar dan Nur Jannah Abd Rahman, muncul johan qari dan qariahn dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2021 malam kelmarin.

Muaz yang juga seorang guru berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai penebus kekecewaannya yang hanya mendapat saguhati semasa pertandingan Tilawah tahun 2019.

“Antara faktor kejayaan adalah dorongan daripada ayah mertua saya, Abd Rahman Omar yang tidak kenal erti penat lelah dalam mengajar saya pagi, petang, siang dan malam,” katanya kepada pemberita.

Katanya, wang kemenangan itu akan dihadiahkan kepada ayahnya dan juga akan digunakan untuk memantapkan lagi ilmu al-Quran.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menyeru orang ramai supaya menghayati bulan Ramadan sebagai Syahrul Quran dengan memperbanyakkan bacaan dan tadarus kitab suci itu.

Sementara itu, Nur Jannah memaklumkan, kemenangan terbabit membuka peluang kepadanya untuk melakukan yang terbaik pada peringkat kebangsaan selepas hanya meraih tempat ketiga pada 2020.

“Sejak 2009, saya telah bertanding dalam tilawah peringkat negeri hasil daripada latihan konsisten dari segi taranum dan tajwid," jelasnya.

Menurut guru di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka itu, kata-kata semangat yang sentiasa diberi oleh pelajar dan bapanya menjadi tonik kejayaan.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala iringan dan sijil.

Dalam majlis itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man.

Turut berangkat, dua lagi anakanda pasangan Diraja iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar.

Naib Johan kategori Qari dimenangi oleh Wan Amirul Shamnie Wan Rosli (Marang) dengan market 87.3 peratus manakala tempat ketiga dimenangi Mohamad Hafas Ali dengan skor 86.9 peratus.

Bagi kategori Qariah, naib johan diperoleh oleh Nur Afifah Zaki (Marang) dengan markah 82.4 peratus dan tempat ketiga diduduki Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) dengan 81.9 peratus.

Kedua-dua juara qari dan qariah akan mewakili Terengganu bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 18 Jun ini.