• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu

SETIU, 24 Mac - Muhammad Muaz Mokhtar dan Rozilah Yaacob masing-masing dinobatkan sebagai Qari dan Qariah bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 2021 yang berlangsung malam tadi.

Seramai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang menyaksikan penyertaan empat lelaki dan dua wanita pada majlis tilawah tahun ini yang diadakan di Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Setiu, Bandar Permaisuri.

Muaz yang mengalunkan bacaan Surah Al An'am yang membawa lagu wajib Soba dan Rast itu berkata, penyertaan tahun ini merupakan kali yang kedua selepas 2019.

Katanya, ketika itu beliau hanya mendapat saguhati dan penyertaan tahun ini sangat berbaloi selepas diangkat sebagai johan.

"Saya mendapat latihan terus melalui ayah mertua yang juga imam di masjid Kampung Ladang Bari dan membentuk jiwa Al-Quran dalam diri saya lebih-lebih lagi dalam bidang fasohah, tajwid dan taranum," katany ketika ditemui UPDI semalam.

Sementara itu, Rozilah pula yang membacakan Surah Ali Imran berkata, pada mulanya beliau tidak mahu menyertai tilawah pada kali ini tetapi atas saranan dan nasihat kawan-kawan beliau membuat penilaian dan diterima masuk.

"Saya berlatih dalam masa dua hari selepas mendapat surah apa yang nak dibaca dan saya kena buat latihan lagi bagi peningkatan bacaan selepas ini".

Pada majlis itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang.

Masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, plat penghargaan dan piala pusingan.

Terdahulu majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim.

Hadir sama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri dan Langkap serta ketua-ketua jabatan kerajaan.