• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Mudahkan Prosedur Bantuan Mereka Yang Terkesan

HULU TERENGGANU, 3 Julai - "Kita terbuka untuk dihubungi 24 jam sehari pada bila-bila masa malah bagi yang terkesan, sila maklum dan insya-Allah bantuan akan sampai," ujar Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid.

Beliau berkata, peruntukan RM300 ribu yang disalurkan kepada setiap Ahli Parlimen oleh Perdana Menteri akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat tanpa sebarang syarat.

Justeru itu katanya, talian telefon semua pegawainya diaktifkan 24 jam bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan bakul makanan.

Katanya lagi, bagi membantu kelancaran bantuan pihaknya juga dibantu oleh pemimpin masyarakat seperti JPKK, imam masjid, bilal dan sebagainya yang menjadi mata serta telinga untuk rakyat yang kini berdepan cabaran luar jangka akibat pandemik COVID-19.

"Kita sentiasa terbuka dan kita berada di mana-mana dan mempermudahkan semua cara yang penting rakyat mendapat apa yang mereka perlukan dalam masa sakit ini.

"Apa pun parti politik mereka,  sekiranya mereka layak dapat bantuan maka mereka harus diberikan bantuan tanpa mengira pendapatan isi rumah sama ada B40, M40 atau T20," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan dan ziarah pesakit OKU dan penyampaian sumbangan kerusi roda serta sumbangan bakul makanan d Kampung Merbau Pulas, Mukim Tanggol, Ajil, hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berkata, pihaknya juga tidak menetapkan sebarang prosedur yang boleh menyebabkan rakyat sukar untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Di samping itu katanya, penghantaran bekalan makanan keperluan asas bernilai RM1,000 sudah dihantar ke 92 masjid di daerah Hulu Terengganu bagi Gerobok Prihatin yang telah dilancarkan baru-baru.

"Kaedah pelaksanaan (agihan/penyampaian) program Gerobok Prihatin adalah tertakluk  kepada tatacara pengurusan dan pentadbiran masjid-masjid  berkenaan.

"Syukur Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang baik dengan kerjasama semua pihak," ujarnya.