• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muhyiddin Letak Jawatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

"Jelas, saya kehilangan majoriti dan tidak perlu lagi keabsahan saya ditentukan di Parlimen. Maka hari ini, saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri sebagaimana perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,"katanya dalam satu perutusan khas, hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini, berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Tambah beliau lagi,  dia menyerahkan kepada kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih perdana menteri baru dan membentuk kerajaan dalam kadar segera.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 1 Mac 2020.