• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Dua lokaliti dan satu mukim dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini hingga 18 Ogos depan, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

"Dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, yang dikenakan PKPD ialah Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2.

"Sementara itu, seluruh Mukim Manir, Kuala Terengganu turut dikenakan PKPD sehingga 18 Ogos hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun dilanjutkan sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan.

Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti.

Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas  penduduk di lokaliti tersebut.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.