• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mula Kerja Terus Masuk Gear Tiga – MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Kerajaan Negeri bertekad untuk bergerak pantas dan lebih agresif pada penggal kedua mentadbir kerajaan Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jika pada penggal pertama kerajaan negeri bergerak gear satu namun pada penggal kali ini pihaknya bergerak dengan gear tiga.

Katanya, ia bagi menjalankan aktiviti terhadap rakyat serta pemerkasaan negeri ini.

“Saya akan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai-pegawai kerajaan negeri bagi merangka lebih jelas lagi halatuju penggal ini.

"Saya mengarahkan serta bersetuju untuk memastikan Exco yang memegang portfolio masing-masing untuk merangka gerak kerja yang berkesan pada tempoh empat bulan ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Tambah Ahmad Samsuri, setiap zaman dan masa mempunyai cabaran berbeza.

“Walaupun, pada penggal ini tiada covid namun dari sudut menaikkan ekonomi negeri masih lagi mempunyai cabaran tertentu.

“Kita akan bersama dengan semua pihak bagi mengatasi pelbagai cabaran termasuk bekerjasama dengan kerajaan pusat,” katanya.

Oleh itu, saya sentiasa menekankan kepada kepimpinan Putrajaya serta saya sebut secara terbuka dalam ucapan ketika Perdana Menteri Malaysia hadir di Terengganu.

“Bahawa kita sangat terbuka untuk mencari jalan bagaimana untuk membantu mengurangkan tekanan ekonomi bagi membantu negara dan rakyat.

“Ini tidak boleh dicapai dengan sebelah pihak sahaja bahkan melalui pelbagai pihak,” ujarnya.

 

 

 


Tag: