• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Munajat Rakyat Kembali, Penyucian Jiwa Hadapi Musibah

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seluruh umat Islam dalam negeri Terengganu khususnya diajak untuk sama-sama menghidup dan menghayati program Munajat Rakyat 6.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyeru masyarakat untuk sama-sama beribadat, berselawat dan mengambil ingatan daripada al-Quran dan hadis disampaikan ustaz-ustaz dan tuan guru menerusi program atas talian itu.

Menurutnya, acara anjuran Yayasan Islam Terengganu bermula hari ini sehingga esok akan menampilkan selebriti dakwah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustazah Asma’ Harun.

“Saya mengharapkan siapa yang belum pernah mengikuti, harap dapat meluangkan masa berkunjung dan sama-sama mengimarahkan wadah ini, panjangkan juga kepada mereka yang belum pernah mendengarnya.

“Jangan lupa dan usah segan, ayuh sama-sama kita hayati dan semoga ia membersihkan hati dan jiwa kita semua,” katanya semasa ucapan perasmian Munajat Rakyat 6.0 di TVDI, pagi tadi.

Sementara itu, Mohd Nor turut mengisytiharkan acara Munajat Rakyat pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah yang akan digerakkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Walaupun kita tidak dapat berwukuf di Padang Arafah dan menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini, namun ia bukan penghalang bagi menadah tangan, bertafakur kepada Allah SWT,” jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada para penaja seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Kumpulan EPIC Berhad, Terengganu Inc dalam memberikan sumbagan saguhati kepada ahli panel, ustaz dan ustazah sebelum ini.

“Kerajaan negeri turut mengalukan jika ada mana-mana syarikat bersedia untuk menyampaikan penghargaan kepada para dai yang terlibat dalam pelaksanaan ini,” katanya lagi.