• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Mungkir Janji Bayar Royalti, Pembangunan Terengganu Tergendala

Haji Ahmad Amzad Hashim.
Oleh: Syed Kamal

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Terdapat banyak pembangunan dan projek di Negeri Terengganu tergendala disebabkan hasil royalti yang masih tidak diterima seperti mana yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan negeri telah pun membuat kiraan belanjawan untuk pembangunan di Terengganu, tetapi semuanya tertangguh kerana kerajaan pusat memukiri janji untuk memulangkan hak royalti milik Terengganu.

“Belanjawan kita telah mengambil kira penerimaan dari royalti kerana kerajaan yang ada ini adalah kerajaan baharu.

"Kerajaan Persekutuan telah berjanji kepada rakyat untuk memulangkan royalti lebih awal.

"Elok-elok kita buat perkiraan, tiba-tiba segalanya tertangguh kerana royalti tidak dibayar sebagaimana dijanjikan. Ini tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas di Dewan Parlimen, kelmarin.

Dalam perkembangan yang sama, menurutnya, tindakan kerajaan ini seolah-olah kerana dendam politik dan khianat kepada kerajaan negeri.

“Pembangunan negeri yang tergendala, projek-projek yang terpaksa ditangguhkan kerana mendahulukan perkara yang lebih penting datang dari tindakan yang seolah-olah dendam politik dan khianat.

"Ianya berulang seperti mana yang kita dakwakan sebelum ini kepada kerajaan yang memerintah sebelum ini.

“Tambahan pula, kita dapat tahu, Petronas telah membayar wang royalti ini kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, ke mana wang ini pergi?," soalnya yang mahukan penjelasan.

Tag: