• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Mutu Perkhidmatan Kerajaan Dipertingkat Menerusi SISPAA

Suhailawati (tengah) menunjukkan aplikasi SISPAA.

KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Terengganu mahu menjadikan setiap aduan dan cadangan daripada rakyat sebagai pemangkin untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat negeri itu.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Korporat), Suhailawati Saigai berkata, kerajaan telah melaksanakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang diyakini mampu meletakkan aduan rakyat sebagai keutamaan bagi mengenal pasti serta mencari penyelesaian terhadap masalah mereka.

Katanya, sebagai contoh aduan seperti jalan berlubang, bantuan kewangan dan pendidikan dapat disalur dan diselesaikan dengan mudah antara kedua-dua pihak sama ada rakyat serta kerajaan negeri atau pihak berkuasa.

“Melalui SISPAA ini juga, kita dapat tingkatkan keseragaman sistem di setiap jabatan, supaya maklumat dan manfaat ini boleh disusun dan sampai kepada kumpulan sasar secara teratur.

“Ia adalah sistem aduan yang amat mudah digunakan, aduan yang diterima disaring sebelum diagihkan kepada jabatan yang berkaitan. Komunikasi secara dua hala antara jabatan dan pengadu dapat diwujudkan serta fungsi kerahsiaan maklumat pengadu dilindungi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.


Mengulas lanjut, Suhailawati memaklumkan, pada tahun lalu sebanyak 97 peratus aduan yang diterima menerusi SISPAA telah berjaya diselesaikan.

“Setakat ini banyak aduan berkenaan yang melibatkan isu setempat diselesaikan menerusi jabatan-jabatan yang telah diberikan kepercayaan dan berdasarkan bidang masing-masing.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri menerima aduan tertinggi dengan 301 aduan setakat Disember 2019 berbanding Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Anak Syarikat Kerajaan Terengganu dan beberapa lagi jabatan utama lain,” tambah beliau. 



Sebanyak 82 jabatan dan agensi negeri Terengganu telah melaksanakan sistem tersebut bermula pada 1 Januari 2018, orang ramai boleh melayari laman web SISPAA di https://terengganu.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau muat turun aplikasi telefon pintar Reponz Rakyat untuk sebarang aduan, cadangan, pertanyaan dan penghargaan.



Tag: