• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri

KUALA NERUS, 19 September- Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Rahimi Nabil Razu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencatat masa terpantas pada saingan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.

Dalam perlumbaan akhir saingan kelas Wira KBS sebentar tadi, Nabil mencatatkan masa 10 minit 47.161 saat mengatasi pelumba di tempat kedua, Md Haziq Rosmaza dengan perbezaan 1.219 saat.

Anak Kampung Pak Madah, Bukit Payong itu menyatakan kegembiraannya merekodkan kemenangan di halaman sendiri.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur. Selepas menguasai podium di pusingan pertama, saya menghadapi kesukaran di Johor akibat hujan.

"Kali ini, saya kembali mengekalkan nombor satu dan saya akan berusaha lebih lagi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perlumbaan tadi.

Nabil kini terus menguasai carta kedudukan keseluruhan selepas pusingan keempat dengan 78 mata.

"Saya hendak mengekalkan kedudukan ini sehingga habis musim," tambahnya bersemangat.

Dalam pada itu, pada saingan kelas CP 125, seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Md Hafiza Rofa yang mewakili ONEXOX TKKR SAG TEAM turut berjaya menduduki podium di tempat ketiga.

 


Tag: