• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nadma Sedia 4,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19

KUALA NERUS, 4 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan 4,000 kit ujian kendiri COVID-19 sebagai persediaan bagi mengawal penularan wabak berkenaan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri sudah menerima peralatan berkenaan untuk digunakan bagi mengesan jangkitan wabak di kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Bagaimanapun, kita hanya menggunakan peralatan ini (kit ujian kendiri) terhadap mangsa banjir yang bergejala sahaja," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Miami Seberang Takir, malam tadi.

Katanya, fasa pertama banjir, sebanyak lapan PPS dibuka membabitkan dua di daerah ini, lima di Setiu dan satu di Besut membabitkan 174 mangsa daripada 58 keluarga.

Rosman berkata, pihaknya juga menyediakan bilik isolasi di semua PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang bergejala.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada mangsa yang bergejala di lapan PPS berkenaan.

"Mangsa banjir juga perlu melalui proses pengambilan suhu badan serta diberikan pelitup muka sebelum membuat pendaftaran masuk di semua PPS," katanya.

Dalam pada itu katanya, trend banjir di tiga daerah terbabit iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut semakin pulih berikutan cuaca yang semakin baik.