• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Nafuzi Mahu Pemain Nikmati Final, Buat Yang Terbaik

KUALA LUMPUR, 9 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu pemain-pemainnya menikmati aura dan kehangatan bermain di Perlawanan Akhir Piala FA 2022 serta menyifatkan mereka akan turun tanpa sebarang tekanan.

“Tekanan bagi kami adalah sepanjang menempuh perlawanan ke perlawanan akhir, itu lebih terasa sebenarnya. Kini, kita bermain untuk piala setelah kita capai sasaran ke ‘final’.

“Untuk pertama kali JDT (Johor Darul Ta'zim) kalah dengan kami pada musim lepas, bagaimanapun kemenangan kali ini bukan mudah kerana mereka lebih dari segenap segi.

“Terengganu FC tidak memiliki ramai pemain yang mempunyai kekuatan fizikal, tapi kita akan gunakan kelebihan lain yang ada.

“Cuma apa yang penting pemain menikmati ‘moment’ di ‘final’, kali ini Alhamdulillah semua pemain cergas untuk bermain dan ia bagus untuk pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.

Nafuzi turut berharap dapat mencipta sejarah sebagai jurulatih dengan menjulang Piala FA kali ini.

“Sebagai pengendali pasukan ini lebih bermakna untuk mendapatkan kejuaraan, saya masih baru dan masih belajar, setiap jurulatih perlukan piala untuk membuktikannya dan saya harap esok adalah malam saya,” katanya.


Tag: