• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA NERUS,12 November - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain meluahkan rasa terkilan terhadap profesionalisme pengurusan kelab gergasi Pantai Timur itu.

Jelasnya, sekalipun pengurusan Terengganu FC berhak menyambung atau menamatkan kontraknya, ia perlu dilakukan secara profesional.

"Saya hanya menerima surat tawaran bertarikh 27 Oktober, diserahkan pada saya dua hari kemudian (29 Oktober) melalui 'kitman' pasukan.

"Mungkin sayalah jurulatih pertama di Malaysia yang menerima surat tawaran daripada 'kitman' sedangkan kita berada di kelab yang profesional.

"Sepatutnya pengurusan perlu memanggil saya untuk berbincang mengenai tawaran kontrak dan hala tuju pasukan, tetapi saya menerima surat tanpa ada sebarang perbincangan atau makluman," katanya.

Beliau turut menafikan isu gaji menjadi persoalan utama, sebaliknya lebih berkisar tentang rasa hormat dan penghargaan kelab terhadapnya sebagai jurulatih.

"Saya rasa segalanya telah diberikan pasukan untuk musim ini di mana kita layak ke Piala AFC, naib johan Piala FA dan berada di kedudukan kedua Liga Super.

"Mungkin kita hanya selangkah lagi untuk ke 'final' Piala Malaysia, tetapi saya betul-betul terkilan diperlakukan seperti itu," luahnya.

Nafuzi bagaimanapun menegaskan, beliau tetap fokus dan isu berkenaan tidak menjejaskan pasukannya.

"Saya sendiri berjanji dengan peminat untuk buat yang terbaik, dan insya-Allah jika ada rezeki kita akan sekali lagi ke 'final' tahun ini.

"Saya akan menyerahkan surat tersebut kepada pihak pengurusan esok bagi jawapan saya," katanya.

 

 

 

 

 


Tag: