• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Naib Johan KRT 2021 Peringkat Kebangsaan Diraikan

KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri sentiasa meraikan dan menyokong usaha Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam kejayaan dan pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai penghasilan produk keluaran tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kejayaan yang dicipta KRT Kampung Gong Baru dalam meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan adalah tanda tercapai matlamat penubuhannya.

“Oleh itu, pada bulan lepas saya hadir di kampung ini bagi mendengar keluhan KRT di sini yang memerlukan dana pembaikan infrastruktur dan atap dewan.

“Jadi kerajaan negeri telah agihkan RM10,000 bagi membantu Kampung Gong Baru dan meningkatkan lagi semangat komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Dulunya KRT ditubuhkan di bawah portfolio perpaduan dan pembangunan masyarakat, cuma pada dekad ini kita letak bawah skop perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Bersama KRT Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Sementara itu, Muhammad Khalil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha KRT di Batu Buruk itu dalam menambahkan keunikan pelancongan serta produk hasil komuniti.

“Kita telah dikenali dengan produk-produk dihasilkan masyarakat setempat seperti batik, songket, keropok lekor dan sebagainya, namun bukan sahaja boleh dibeli malah pengunjung boleh datang melihat kerja penghasilan oleh penduduk setempat,” jelasnya.

Menurut Pengerusi KRT Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Hanafiah Ismail, pihaknya pernah meraih Johan kategori Rukun Tetangga Terbaik pada tahun 2008 dan 2012, dan kini terkenal dengan produk seperti Songket Gong Baru.