• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Nasi Kandar Hotel Permai 'Laku Keras'

KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Tidak sampai empat jam, lebih 600 set nasi kandar RM5 habis terjual melalui Jom Singgah Beli di Hotel Permai pada hari pertama dilancarkan semalam.

Antara pelanggan yang ditemui, Noraina Mahmud, 29, berkata, dia tidak melepaskan peluang mendapatkan set nasi kandar dengan harga RM5 selepas promosi itu tular di media sosial.

"Dalam tempoh pandemik ni, susah nak cari makanan yang sedap dengan kos mampu milik.Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk beli makanan tengah hari di sini.

“Ini hari kedua saya datang untuk beli nasi kandar ni.Dengan harga RM5, saya boleh dapat ayam goreng, sayur kobis mamak, bendi, papadom dan air sirap yang diberikan percuma sahaja.

"Oklah macam ini. Saya dapat makan kenyang dengan menu yang sedap dari chef hotel dan harganya mampu milik untuk waktu ekonomi yang tidak berapa stabil ini,"ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui hari ini di tapak jualan Sik Kandar, hadapan Hotel Permai.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata,  pihaknya hanya memperuntukan 100 set nasi kandar pada hari pertama untuk percubaan namun tidak menyangka permintaan cukup luar biasa.

"Jualan bermula jam 11.30 sehingga 2.30 petang tetapi tak sampai setengah jam dah terjual 150 set dan pelanggan masih ramai termasuk tempahan.

"Pihak kami terpaksa menyediakan tambahan nasi kandar sehinggakan terjual lebih 600 pek dalam masa yang agak singkat,"ujarnya.

Menurut beliau, orang ramai juga boleh membuat tempahan lebih awal jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak.

"Tempahan juga dibuka sama ada pelanggan datang ambil sendiri atau pihak hotel buat penghantaran secara terus.

"Kami juga sediakan sembilan jenis lauk seperti kari kambing, kari telur sotong, kari ikan dan baby crab dengan harga RM1.50 hingga RM5 bergantung dengan selera pelanggan," tambahnya.

Bagi Chef Mat Andri Abas, 49, idea nasi kandar ini tercetus apabila beliau rasakan sukar untuk menikmati menu utara ini di Terengganu.

"Jadi lahirlah resepi nasi kandar  dengan penggunaan rempah ratus tempatan tetapi masih mengekalkan keaslian rasa mamak yang unik.

"Rasa puas hati apabila pelanggan memberikan komen yang positif dengan rasa dan harga yang ditawarkan, Insha Allah akan pelbagaikan lagi lauk selepas ini,"katanya.