• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Nasib Asnaf Pulau Perhentian Terus Dibela

Dr. Riduan Mohd Nor (kanan).
Oleh: Saifullah Jusoh dan Jusmawari Jusoh

BESUT, 9 Mac - Nasib golongan asnaf dan miskin tegar di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian akan diberi perhatian yang serius.

Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohd Nor berkata, kesusahan yang mereka hadapi dalam menjalani kehidupan seharian tanpa kelengkapan cukup amat memeritkan.

Jelasnya, bantuan seperti barangan keperluan asas untuk golongan itu perlu disalurkan setiap masa bagi meringankan beban mereka.

"Kita akan sedaya upaya mengambil berat dan cakna akan nasib golongan asnaf dan miskin tegar dalam kawasan Besut.

"Kita ziarah bukan semata-mata ketika musim pilihan raya sahaja, tetapi kita akan cuba untuk menziarahi masyarakat Besut pada bila-bila masa.

"Saya berharap dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan seharian," ujar beliau.

Ziarah dan memberi semangat.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai Program Jaulah Tarbawi di Pulau Perhentian, Besut, yang bermula semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah ahli jawatankuasa Pejabat Penyelaras Parlimen Besut dan Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Program itu turut disertai oleh Muslim Care Malaysia dan dibantu oleh Jabatan Amal Malaysia Kawasan Besut serta Kadet Amal Besut.

Dalam program tersebut, sumbangan berupa barangan keperluan seharian seperti beras diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Bersama Pusat Khidmat DUN.


Tag: