• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nasib Pembeli Rumah Gong Cempedak Dalam Perhatian

KUALA TERENGGANU, 25 September - Nasib pembeli projek perumahan swasta Gong Cempedak Fasa 3, Marang yang dilanda pelbagai masalah akan terus diberi perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya masih komited untuk terus berunding dengan pihak yang terlibat terutamanya pemaju perumahan berkenaan agar ia diselesaikan sekali gus nasib pembeli akan terbela.

"Exco Perumahan sebelum ini, Dato' Dr Alias Razak telah pun mengambil tindakan bagi memastikan ia diselesaikan termasuk telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju.

"Walaupun projek ini bukan di bawah kerajaan negeri, yang merupakan projek swasta kita tetap mengambil sikap untuk terus menjadi pihak yang akan mencari jalan serta solusi bagi menyelesaikan masalah untuk memastikan rumah ini akan dapat diberikan kepada pembelinya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima kunjungan daripada wakil pembeli perumahan berkenaan, di sini, hari ini.

Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri dalam menyelesaikan projek perumahan swasta ini sebaliknya akan mengambil sikap untuk terus berusaha bagi melakukan apa yang terbaik.

"Kita akan tetap terus membantu dan menolong termasuk akan turut berhubung dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membicangkan perkara ini.

"Hasilnya kita tidak tahu lagi, tetapi kita akan terus membantu sedaya upaya, maknanya kita akan tetap ambil peduli terhadap hasrat daripada pihak pembeli yang mahu kerajaan negeri campur tangan dalam projek perumahan ini" ujarnya lagi.

Pada penggal lalu Dr Alias sentiasa memantau perkembangan projek yang telah terbengkalai lebih 10 tahun.

Kali terakhir hasil pertemuan, pihak pemaju akan memulakan kembali projek berkenaan setelah mengalami masalah kewangan bagi meneruskan pembinaan kediaman berkenaan.