• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Negeri Terengganu Tanpa Plastik 2021

Dr. Alias Razak.

 

 

 

KEMAMAN, 9 Ogos – Kerajaan negeri bersetuju memutuskan penguatkuasaan undang-undang bahawa tiada lagi penggunaan plastik untuk semua jenis perniagaan bermula Januari 2021.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko plastik dan mikroplastik yang menjadi ancaman kepada hidupan marin dan alam sekitar.
 
“Ini adalah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan sebagai usaha kita untuk memastikan alam sekitar dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang selamat.
 
 

 

“Perkara ini telah dilaksanakan secara beransur-ansur melalui pendidikan berkaitan risiko plastik serta pekeliling yang telah diedarkan bermula Januari tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Terengganu Turtle Camp 2019 di Pusat Santuari Ma’Daerah, Kerteh, hari ini.

 

 
Program tersebut menghimpunkan 40 pelajar daripada 10 sekolah terpilih dari seluruh negeri untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman mengenai penyu yang merupakan khazanah negeri Terengganu.
 
Para peserta Terengganu Turtle Camp merakamkan gambar bersama.
Program selama tiga hari itu dianjurkan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dan  World Wide Fund for Nature (WWF) dengan sokongan kerajaan negeri dengan memberi pendedahan menerusi pembelajaran aktiviti luar darjah.
 
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, PSKT, Rosman Roslan; Pengurus Konservasi Penyu WWF Malaysia, Lau Min Min; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Abd. Rahman Kadir serta
Eksekutif Sumber Manusia, BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd., Zam Zam Abdul Rahman.
 
Turut hadir, Ketua Bahagian Pejabat Cawangan Kertih, Majlis Perbandaran
Kemaman, Mohd Kamaruzaman Abd Aziz; Ketua Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu Rantau Abang, Firdaus Abdullah dan Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamed.
 
Beliau berkata, dalam jangka masa dua tahun tempoh pendidikan itu, pelbagai program dilaksanakan antaranya melalui Hari Tanpa Beg Plastik setiap Sabtu bagi negeri Terengganu.