• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nelayan Hanyut Di Laut Bersyukur Masih Hidup

MARANG, 29 November - Seorang yang hanyut di perairan Pulau Kapas pada Sabtu lalu bersyukur kerana masih hidup selepas tragedi malang itu.

Mohd Nasir Othman, 45, berhadapan detik cemas apabila hanyut selama lapan jam kerana bot yang dinaikinya karam.

Dia berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10 pagi ketika keluar memancing seorang diri.

Katanya, bot yang dinaiki telah terbalik akibat dipukul ombak besar.

"Berbekalkan sedikit pengalaman dan tidak panik, saya cuba mencari pelampung dan terus berpaut  pada bot yang hampir tengelam sehingga ditemui dan diselamatkan oleh kru bot tunda Macallam 9.

Menurut Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid melalui Facebook rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memaklumkan mereka telah menerima aduan oleh Bot Tunda Macallam 9 yang dalam perjalanan dari Thailand ke Indonesia tentang penemuan seorang nelayan hanyut.

“Mohd Nasir yang hanyut sehingga di posisi 10 batu nautika dari Kuala Kemaman akhirnya dibawa oleh bot Penggalan 16, Maritim Kemaman ke pusat rawatan.

“Kira-kira jam 3. 40 pagi, mangsa tiba di jeti zon Maritim Kemaman dan dipindahkan ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kemaman.

“Komuniti maritim juga perlu menyediakan peralatan kecemasan sebelum ke laut dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa berada di laut,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang, Mohd Najmuddin Rani berkata, pihaknya juga bersyukur kerana mangsa dapat kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat.

“Kita juga mengharapkan agar semua nelayan yang keluar mencari rezeki di laut agar berhati-hati tambahan pula ketika musim tengkujuh ini," katanya selepas mengunjungi dan menyerahkan sedikit sumbangan kepada mangsa di Kampung Rusila.


Tag: