• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Nelayan Hilang Setelah Jatuh Di Muara Sungai

Oleh : Nooreni Abu Bakar/Naim Fadhilah 

DUNGUN, 21 September - Seorang nelayan hilang setelah terjatuh di Muara Sungai Dungun dari bot yang dinaikinya bersama dua orang rakan.

Juragan bot yang juga rakan mangsa, Mahadi Ibrahim, 56, berkata, Mohd Nor Mamat, 67, tiba-tiba terjatuh selepas bot yang mereka naiki dipukul ombak kuat.

Katanya, sebelum kejadian Mohd Nor sedang duduk di atas tong ikan.

"Apabila bot dipukul ombak, tong ikan tersebut menggelongsor,  mangsa dan seorang lagi rakan saya, Mohd Ibrahim, 63 terhumban ke dalam muara sungai itu. 

"Dalam keadaan itu, saya mencampak pelampung, hanya Mohd Ibrahim sahaja berjaya menyambutnya tetapi Mohd Nor sebaliknya," ujar Mahadi yang terkilan gagal menyelamatkan rakannya kepada pemberita selepas kejadian itu.

Mahadi dan Mohd Ibrahim yang ditemui di tempat kejadian kelihatan sugul atas kehilangan rakan baik mereka.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Shahrizal Shamsuddin berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.59 tengah hari, operasi mencari mangsa terus dilakukan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta orang awam. 

"Anggota bomba dan orang awam memulakan pencarian di kawasan mangsa jatuh dengan menggunakan bot Penyelamatan dan bot fiber," katanya.

Hingga jam 10 malam ini, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.


Tag: