• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nelayan Terjejas Tengkujuh Tarik Nafas Lega

KUALA NERUS, 12 Januari – Nelayan terjejas tengkujuh di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini menarik lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada kerajaan negeri.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab berkata, sumbangan khas nelayan itu diwujudkan bagi membantu golongan itu yang tidak dapat turun ke laut sehingga dibebani beberapa masalah.

“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.

“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.

“Situasi sebegitu mengakibatkan mereka tidak meraih pendapatan pada musim tersebut untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Takir, Hamdan Mamat ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.

“Pada musim sebegini, kami memang tidak dapat turun ke laut.

“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya

Sementara itu, tekong bot, Azahari Azhar ketika ditemu ramah berkata, beliau terharu dan melahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan ini.

“Terima kasih kepada Pusat Khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan Seberang Takir.

“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.


Tag: