• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

NGO Diminta Lapor Diri Bagi Penyelarasan Tugas

KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) diminta melapor diri terlebih dahulu ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) kawasan bagi mengelakkan pertindihan bantuan. 

Perkara demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam lawatan beliau ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, malam tadi.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan bantuan NGO atau individu yang sudi menghulurkan bantuan dalam situasi sekarang, yang penting melapor diri agar gerak kerja tersusun.

“PKM di seluruh negeri sentiasa beroperasi bagi menyelaras bantuan kepada penduduk yang terjejas,” tambah beliau.

Beliau turut berkata, NGO atau individu berkenaan boleh juga melapor diri di balai polis atau terus ke PPS yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut mengarahkan NGO bersedia membantu rakyat bagi fasa pasca banjir untuk mencuci kediaman mereka apabila banjir mula surut.


Tag: