• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

NGO Terengganu Cemerlang

KUALA NERUS, 31 Mac – Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu cemerlang dalam melaksanakan misi bantuan di dalam dan luar negara dari pelbagai sudut sama ada tenaga mahupun sumbangan wang ringgit.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia dilihat menerusi program Tabung Terengganu for Turkiye and Syria yang dilancarkan baru-baru ini yang mencapai kutipan sebanyak RM1.3 juta.

Katanya, sehinggakan Terengganu dinobat sebagai penyumbang terbesar dari Malaysia.

“Tidak lupa juga misi-misi pasca banjir yang berlaku di dalam atau luar negeri sehingga hampir kesemua NGO menyalurkan tenaga aktivis serta sukarelawan untuk membantu mangsa- mangsa yang terjejas.

“Bahkan dalam kategori pendidikan, kebajikan OKU, belia dan beliawanis, perantau, agama serta hak kepenggunaan, fungsi NGO begitu jelas memudahkan urusan ramai pihak," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Townhall NGO Terengganu bertempat di Dewan Al-Wathiqu Billah, Bandar Kuala Nerus di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Tambah Yahya, memahami begitu pentingnya kewujudan dan besarnya peranan NGO, kerajaan negeri Terengganu dengan Kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT) telah menubuhkan Anjung NGO Terengganu.

Tambahnya lagi, ia berfungsi sebagai “One Stop Centre”, pusat utama menjalankan aktiviti atau mesyuarat pertubuhan supaya potensi dan impak NGO-NGO dapat diperkasa.

"Untuk makluman, Anjung NGO Sejahtera sudah siap 95 peratus dan akan dapat dimanfaatkan oleh sebilangan besar NGO," jelasnya.

Beliau berkata, NGO juga sebagai gerakan besar, gelombang ketiga yang boleh menentukan kepimpinan negara justeru jasa perjuangan mereka perlu dihargai.

 

 

 


Tag: