• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nilai Ambang Peralihan Fasa Bagi Terengganu Diperbaharui

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Nilai ambang untuk peralihan fasa dari fasa dua ke fasa ketiga bagi Terengganu telah diperbaharui.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat penambahbaikan kepada nilai ambang kes di Terengganu.

"Jika dulu, kita mengambil kira kes harian yang berlaku tanpa melihat kepada mana-mana kategori, kita hendak seluruh negara kurang daripada 4,000 kes sehari, Terengganu pula 156 kes sehari.

"Melihat kepada situasi semasa, MKN telah melakukan penambahbaikan nilai ambang kepada insiden kemasukan ke hospital, nilai ambang ini dinilai berdasarkan kategori 3, 4 dan 5 sahaja.

"Nilai ambang Terengganu mesti kurang 36 kes yang dimasukkan ke hospital sehari", jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam.

Tambah Dr. Alias, nilai ambang kadar vaksinasi yang telah melengkapkan suntikan dos kedua masih dikekalkan bagi membolehkan Terengganu beralih dari fasa dua ke fasa ketiga iaitu sebanyak 40 peratus.

"Nilai ambang ini diambil kira berdasarkan jumlah penduduk dewasa, bukan berdasarkan jumlah keseluruhan penduduk.

"Terengganu mencatatkan kadar vaksinasi sebanyak 27.6 peratus setakat ini bagi penerima dewasa yang telah lengkap dos kedua.

"Kita mempunyai harapan yang cerah untuk beralih ke fasa ketiga hujung bulan ini," ujarnya.

 


Tag: