• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nisa’ Dekati Anak Muda Melalui Al-Quran

KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Nisa’ Kawasan Kuala Terengganu berusaha mendekati golongan muda melalui aktiviti berasaskan pengisian al-Quran.

Ketua Unit Pembangunan Insan (UPI) Nisa’ Kawasan Kuala Terengganu (Nisa’ KT), Wan Nornuraini Wan Mohd Hanafi, berkata, program berkenaan Nisa’ Qurantime (NQT) akan diadakan secara berkala iaitu sekali dalam seminggu.

Katanya, NQT merupakan satu program yang mengajak anak remaja untuk lebih dekat kepada al-Quran di samping bertujuan untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu dalam perkumpulanan yang kecil.

Wan Nornuraini Wan Mohd Hanafi

“Objektif utama penganjuran adalah untuk mendekatkan anak muda kepada NGO Nisa’ sekaligus memperkenalkan NGO ini dengan membawa ‘jenama’ variasi al-Quran supaya menjadi lebih dekat kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, program hari ini (semalam) walaupun pertama kali penganjuran, kita berjaya melibatkan lebih 20 orang peserta dan kami juga menerima reaksi yang positif daripada peserta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di TD 1303, kelmarin.

Nornuraini  turut menyeru anak-anak muda terutamanya wanita di sekitar Kuala Terengganu untuk menyertai program-program anjuran Nisa’ KT dengan mengikuti sebarang hebahan di halaman rasmi Facebook Nisa’ KT.

Salah seorang peserta program NQT, Siti Jamilah Mohamad melahirkan rasa gembira atas penganjuran program tersebut dan berharap agar ianya berterusan pada masa-masa yang akan datang.

Siti Jamilah Mohamad

Dalam  masa yang sama, beliau mengajak semua wanita supaya jangan takut dan segan untuk terlibat dalam program sedemikian.

“Saya pada awalnya takut juga nak sertai, tetapi bila sampai di sini, rupanya aktivitinya sangat menyeronokkan dan tidak membosankan di samping dapat menemui rakan-rakan baharu.

“Saya juga mencadangkan kepada pihak Nisa’ untuk lebih menyebar-luaskan program ini dan mungkin boleh buat di tempat-tempat yang terbuka supaya penyertaan itu lebih meluas,” katanya.