• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Nisa’ Saranghae Perkasa Agenda Kebajikan

Foto: 3N Nisa'

KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Program Nisa’ Saranghae menjadi salah satu cara bagi pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) melengkapi fungsi kerajaan negeri dalam hal ehwal kebajikan masyarakat.

Menurut Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) negeri Terengganu yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan pasca-pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Katanya, ia menjadi tanggungjawab bagi pihak NGO untuk turut sama-sama membantu masyarakat, tanpa mengharapkan kerajaan negeri semata-mata dan Nisa’ berperanan dalam membantu insan yang kurang bernasib baik dengan mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan dalam kerja amal tersebut.

Pengarah Nisa' Terengganu menyampaikan sumbangan.

“Kenapa kita pilih tajuk ‘saranghae’? Ianya sebagai simbolik masih ramai lagi masyarakat diluar sana yang sayang dan prihatin, mereka sebenarnya sedia membantu rakyat yang memerlukan dalam menghadapi musibah dan ini juga sebenarnya tanda Allah sayangkan kita semua.

“Setakat ini, kita sudah bantu dua keluarga iaitu yang pertama keluarga Adik Balqis yang merupakan pelajar harapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diuji dengan ayahnya yang baharu dipotong kaki akibat diabetes dan menyebabkan ibunya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.

“Walaupun dalam keadaan kekurangan, satu telefon bergilir-gilir dengan adik-beradik, mereka masih bersemangat untuk mengikuti kelas secara atas talian. Jadi, kami sumbangkan sebuah komputer beserta mesin pencetak,” ujarnya.

Penerima pertama Program Nisa' Saranghae.

Sakinah berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Tambahnya, Nisa’ menyasarkan semua daerah dapat menjalankan program tersebut dengan tapisan hasil kolaborasi bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setempat bagi mengelakkan berlaku pertindihan bantuan daripada agensi atau pihak lain.

“Penerima kedua ialah seorang ibu tunggal, Puan Adawiyah yang menyara keluarganya dengan menjalankan perniagaan pastri secara kecil-kecilan dan sebenarnya bermacam-macam pekerjaan lain yang dilakukannya.

“Kami beri bantuan ketuhar serta beberapa peralatan lain yang insya-Allah, mudah-mudahan membantunya untuk terus berusaha mengembangkan perniagaan,” ujar beliau lagi.

Penerima kedua.

Justeru itu, Sakinah turut mendoakan mereka yang ditimpa musibah ini dapat dibantu serta dibangunkan kembali jiwa serta semangat mereka untuk tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Dalam masa yang sama, beliau  turut menyeru masyarakat untuk turut sama-sama menyumbang, demi keuntungan saham akhirat dan orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, bolehlah mendapatkan maklumat di halaman Facebook rasmi Nisa’ Terengganu.