• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Noor Arfa Sedia RM100 Ribu Untuk CSR

Haji Ahmad Amzad (tengah) melayani golongan asnaf di Majlis Iftar Ramadan anjuran Noor Arfa di Chendering hari ini.

KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Sebuah syarikat batik terkenal Terengganu, Noor Arfa Holdings Sdn Bhd (Noor Arfa) menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM30,000 bagi meraikan seramai 80 orang golongan asnaf dan anak yatim dari kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Marang sempena  Majlis Iftar Ramadan Bersama Golongan Asnaf di Kompleks Kraf Noor Arfa di Permint Jaya Chendering di sini hari ini.

Pengerusi dan pemilik syarikat itu, Wan Mohd Ariffin Wan Long, 63 berkata, peruntukan itu disediakan hasil kerjasama pihak pengurusan syarikat dan  kakitangannya bagi menyantuni golongan tersebut.
Haji Amzad (kanan) menerima sumbangan beras dan kain batik sarung dari Wan Mohd Ariffin mewakili golongan asnaf Parlimen Kuala Terengganu.

Menurut beliau setiap warga asnaf itu menerima sumbangan berbentuk barangan  dapur dan sedikit wang dari pihak Noor Arfa.

Noor Arfa katanya, menerima senarai nama asnaf setiap kawasan seramai 10 orang.

Ini termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, DUN Ladang, DUN Wakaf Mempelam dan DUN Bandar bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Manakala kawasan Parlimen Marang pula ialah DUN Rhu Rendang, DUN Pengkalan Berangan, DUN Bukit Payung dan DUN Alur Limbat.

Menurut Wan Mohd Ariffin, Noor Arfa turut menyumbang sebanyak 330 kampit beras seberat 1,650 kilogram  (kg) dan lapan kudi (160 helai) kain batik sarung untuk diagihkan kepada golongan asnaf di kedua-dua kawasan parlimen tersebut.
Wan Mohd Ariffin

Setiap kawasan itu katanya, mendapat 165 kampit beras seberat 5 kg setiap satu kampit dan 80 helai kain berkenaan.

Katanya, sudah enam tahun  aktiviti CSR itu dilaksana oleh Noor Arfa bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat umat Islam di negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selesai majlis berbuka puasa bersama warga asnaf tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi, ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah, masing-masing menyampaikan sumbangan Noor Arfa itu kepada golongan tersebut.


Tag: