• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

OIC, Liga Arab Digesa Bertindak Tegas Terhadap Israel

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan seluruh dunia Islam perlu mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, pihak berkuasa juga disaran untuk membela umat Islam di Masjid al-Aqsa yang menjadi mangsa tentera zionis 

 “Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan biadap rejim Zionis Israel ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa sehingga mencederakan lebih 178 orang rakyat Palestin yang sedang berkumpul di perkarangan masjid.

“Mereka bertindak biadap dengan melemparkan bom tangan dan bom asap, malah melakukan serangan dengan menembak para jemaah di dalam Masjid al-Aqsa menggunakan peluru getah. 

“Tentera rejim Zionis Israel juga turut menahan ramai jemaah Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin yang berlindung di dalam mahupun di pekarangan Masjid al-Aqsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden PAS itu berkata, tindakan biadap itu sangat tidak berperikemanusiaan dan menambah luka umat Islam tatkala sedang menunaikan solat serta beribadat di penghujung Ramadan.

“Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu dengan pertengkaran hampir setiap hari mengenai ancaman Israel terhadap pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka dan tangkapan beberapa orang rakyat Palestin serta serangan yang dilancarkan di perkampungan Sheikh Jarrah,” ujarnya.

Melihat perkembangan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam dan meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds. 


Tag: