• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

OKU Mahu Jadi Ahli Parlimen



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 29 Ogos- Tengku Mohd Aznim Khusairi Tengku Hashim, 21, bercita-cita menjadi Ahli Parlimen Malaysia yang pertama dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dengan bantuan tongkat untuk bergerak, Aznim Khusairi tidak pernah mengganggap kekurangan dirinya sebagai penghalang mencapai cita-cita berkenaan.

"Orang Asli dah ada wakilnya, dan saya mahu bersuara mewakili OKU di dalam Dewan Rakyat.

"Kerana minat menjadi ahli politik, saya akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Seremban 3.

"Sebelum ini saya belajar di peringkat Diploma dalam jurusan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika hadir menemui Pegawai Penyelaras di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, semalam.

Katanya, untuk mencapai cita-citanya itu, dia bergiat aktif sebagai Timbalan Kelab OKU UiTM seluruh Malaysia.

Beliau turut menyatakan semenjak dahulu tidak pernah mengikuti mana-mana pengajian khas walaupun berkeadaan demikian.

"Saya telah mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Besi sebelum meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Berasrama Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.

"Saya tiada masalah menyesuaikan diri dengan pelajar biasa, serta sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk maju ke hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata semangat yang dimiliki anak muda itu perlu dicontohi oleh pelajar lain.

"Dengan kekurangan yang dimiliki dia gigih dan sentiasa berusaha untuk menyaingi pelajar-pelajar lain malah bercita-cita cukup besar mahu menjadi Ahli Parlimen Malaysia yang pertama dari kalangan OKU bagi mewakili dan memperjuangkan nasib golongan berkenaan ke peringkat yang tertinggi.

"Saya mendoakan agar apa yang dihajati, dan dicita-citakan olehnya tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT, dan segala urusan pembelajarannya sepanjang tempoh pengajian akan dipermudahkan oleh Allah SWT," ujarnya.


Tag: