• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

OKU Nikmati Hasil Melon Manis

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Walaupun dilahirkan sebagai orang pekak, ia tidak menghalang 25 ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) untuk mengusahakan projek tanaman tomato ceri dan Melon Manis Terengganu (MMT).

Tanaman yang diusahakan bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mula ditanam di kawasan lapang bersebelahan pejabat POPT, di Batu Buruk, di sini pada Julai lalu kini boleh menikmati hasil tuaian yang dianggarkan lebih 100 kilogram.

Walaupun MMT kurang berkualiti atau mencapai tahap gred yang diperlukan, tetapi kesemua peserta yang pertama kali menyertai program itu cukup teruja menuai hasil sulung.

Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, inisiatif tersebut membuka ruang kepada ahli-ahli persatuan dan bukan ahli untuk menceburi bidang pertanian secara serius

“Mungkin selepas ini ada di antara ahli mahu mengusahakan sendiri tanaman melon di kawasan terbiar milik masing-masing kerana mengetahui hasil yang bakal diperoleh cukup berbaloi.

“Oleh itu dia cukup berharap ada pihak tertentu terutama kerajaan negeri menyokong apa yang diiusahakan ahli POPT terutama berkaitan suntikan modal dan kelengkapan pertanian,” katanya,

Beliau berkata demikian selepas Program Penuaian Melon di Pejabat POPT Batu Buruk, di sini.

Sementara itu, Pensyarah UMT (Falkulti Perikanan dan Sains Makanan), Dr Wan Zaliha Wan Sembok berkata, apa yang diusahakan itu adalah di bawah program Pindah Ilmu berkaitan penanaman MMT secara fertigasi.

Kata beliau, pihaknya akan memperluaskan projek itu daripada 200 pokok kepada 2,000 sekiranya peruntukan yang disalurkan mencukupi.

“Dengan peruntukan RM8,000, UMT hanya mampu menyediakan tanaman MMT tanpa bumbung, sekiranya berbumbung pasti hasil tuaian mampu mencapai gred premium.

“Apa yang boleh dibanggakan, rata-rata ahli POPT menzahirkan kesungguhan dan teruja untuk kembali menanam melon manis. Walaupun pertama kali menyertai projek itu, hasil yang diperoleh agak memuaskan,” katanya

 


Tag: