• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'One Off' RM23 Juta Untuk Asnaf Bermula Ogos Ini

HULU TERENGGANU, 27 Julai - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM23 Juta dalam bentuk 'One Off'  yang bakal memanfaatkan 25,000 ribu golongan asnaf dan fakir miskin bermula Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata bantuan ini bagi membantu golongan tersebut yang pasti terkesan dengan kadar inflasi sehingga menyebabkan kuasa beli semakin turun.

Katanya, setiap Ketua Isi Rumah (KIR)akan menerima bantuan bermula RM800 sehingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan keluarga.

"Kita juga menggunakan kaedah baru pengagihan bantuan dengan pihak Maidam setiap daerah selaku urusetia turun menyantuni penerima di kediaman masing-masing.

"Berikutan kesan ekonomi dan inflasi, kita jangkakan lebih 3,000 asnaf dan fakir miskin baharu akan mendaftar dengan Maidam berbanding 21,197 orang ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Agihan Bantuan Ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini hari ini.

Dalam program tersebut, Maidam menyantuni lima keluarga yang terlibat dengan kejadian ribut pada bulan lepas dan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai RM300.