• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

'One Stop Centre' NGO Terengganu Beroperasi Dalam Masa Terdekat

KUALA NERUS, 31 Mac - Kerajaan Terengganu dengan Kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT) bakal menubuhkan Anjung NGO Sejahtera yang berfungsi sebagai 'One Stop Centre' atau pusat utama bagi melancarkan sebarang aktiviti atau mesyuarat pertubuhan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali memaklumkan, Anjung NGO Sejahtera sudah siap 95 peratus dan akan dapat dimanfaatkan oleh NGO khususnya yang masih tidak memiliki pejabat atau kemudahan fasiliti sendiri.

"Insya-Allah akan dirasmikan pembukaannya tidak lama lagi dan mula beroperasi dalam masa terdekat.

"Pertubuhan atau NGO sangat sinonim dengan sikap proaktif, tulus ikhlas berkhidmat, tinggi rasa empati, sedar tanggungjawab manusiawi dan begitu dekat dengan komuniti awam. Tidak melampau sekiranya saya sebutkan bahawa NGO adalah nukleus penggerak masyarakat dan pencetus perubahan.

"Kita boleh lihat menerusi program Tabung Terengganu for Turkiye and Syria yang dilancarkan baru-baru ini, merupakan satu pencapaian yang besar dan membanggakan kita semua. Alhamdulillah hasil kutipan mencecah RM1.3 juta sehinggakan Terengganu dinobat sebagai penyumbang terbesar dari Malaysia. Syabas kepada para penyumbang yang juga terdiri dari sebahagian besar NGO yang berada di dalam dewan ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Townhall NGO Terengganu di Dewan Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus semalam.

Untuk rekod, sebanyak 200 pertubuhan dan badan bukan kerajaan hadir menunjukkan tanda komitmen bersama kepimpinan kerajaan negeri.

Bagi menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan daripada kerajaan negeri buat NGO-NGO yang banyak menabur bakti dalam arena kebajikan dan sosial di Terengganu, sebanyak lima Anugerah Khas NGO Terbaik telah diberi.

 


Tag: