• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Op Khas Penjaja Jalanan, Nasihat Sebelum Saman

KUALA TERENGGANU, 21 Disember- Op Khas Penjaja Jalanan telah dilaksanakan Polis Terengganu bermula 13 Disember lalu selepas menerima aduan orang ramai yang bimbang berlaku kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, pihaknya menggunakan kaedah advokasi dengan memberi teguran dan nasihat kepada penjaja terbabit yang menjalankan aktiviti itu di persimpangan jalan serta lampu isyarat.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka akan dikenakan tindakan saman jika masih berdegil.

"Kita juga sedia maklum berhubung video tular yang menunjukkan dua anggota mendekati seorang penjaja jalanan di Bandar Chukai, Kemaman. Anggota itu hanya melakukan advokasi atau memberi nasihat kepada penjaja berkenaan," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini tular video berdurasi 14 saat yang dikatakan dua anggota terbabit mengenakan saman kepada penjaja jalanan di sekitar bandar Chukai, Kemaman.

Beliau berkata, tindakan saman boleh diambil di bawah Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 (LN 166/59), tidak ada seorang pun boleh menjual sesuatu kepada orang dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan dan boleh dikompaun jika melanggar kaedah ini.

"Selain itu, di bawah Kaedah 10A(2) dalam kaedah yang sama, tidak ada seorang pun boleh cuba membeli atau membeli sesuatu semasa berada dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan. Kesalahan ini tidak boleh dikompaun dan hendaklah menjelaskan di Mahkamah," ujarnya.

Dalam masa sama, Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan perniagaan terutama di kawasan lampu isyarat kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya.