KUALA TERENGGANU, 29 Jun - OP PATUH yang berlangsung sejak Jumaat lalu akan dilaksanakan secara besar-besaran (Nationwide Crackdown), bermula minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelaksanaan operasi secara 'nationwide' itu melibatkan semua agensi di bawah 21 kementerian yang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara koordinasi bersama.
"Insya-Allah, ia mungkin bermula Khamis, atau jika terlewat sedikit pada Jumaat ini. Jadi, mereka yang dibenarkan beroperasi perlu bersedia kerana sekiranya ingkar, jika tidak ditangkap mungkin akan dikenakan denda maksimum.
"Pihak berkuasa tempatan akan diarahkan melakukan snap check di kawasan tertentu di seluruh negara. Begitu juga dengan sekatan jalan raya (SJR), selain operasi dengan aset sedia ada secara serentak," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, hari ini.
Jelasnya, usaha tersebut bagi membantu menurunkan penularan jangkitan pandemik Covid-19 serta kes aktif dalam negara.
Beliau yang melakukan tinjauan di Penjara Marang turut memaklumkan bahawa KDN akan mewujudkan penjara satelit di Dungun untuk menampung kepadatan tahanan bagi mengelakkan penularan pandemik di sana.
"Di penjara Marang, kita memerlukan kawasan lebih besar untuk menempatkan sebahagian banduan yang ada bagi mengelakkaan penularan kluster tembok, insya-Allah awal Julai ini mereka akan dipindahkan.
"Dalam waktu sama, di Marang juga perlukan kuaters dan kita telah meluluskan sebanyak RM4 juta untuk dengan perincian pembinaan 64 unit atau empat blok kuaters untuk proses naik taraf di sini," katanya.
Tambahnya, projek tersebut akan ditender pada Ogos ini dan bermula pada Oktober bagi memberi keselesaan kepada anggota penjara.