• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Operasi Mencari Pemancing Jatuh Laut Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 23 Mei- Pasukan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT)m bagi hari keempat seorang pemancing bot fiber disyaki jatuh laut di sekitar perairan Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sektor pencarian hari ini merangkumi 332.37 batu persegi bagi mengesan mangsa Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34 tahun disyaki hilang di lokasi terakhir bot mangsa ditemui oleh nelayan tempatan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Jelasnya, operasi CARILAMAT melibatkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) iaitu Kapal Maritim (KM) NUSA dan pesawat udara AW139 bagi mengesan kedudukan mangsa yang mungkin hanyut dari lokasi yang dipercayai berlakunya insiden.

"Operasi pencarian turut menerima bantuan aset bot PSC 25 dan dua jetski Pasukan Polis Marin serta bot P308 Jabatan Perikanan dan juga komuniti nelayan setempat," katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, petang ini.

Muhammad Suffi turut memaklumkan penemuan seorang lagi mangsa bot nelayan tempatan kelas A yang hilang 19 Mei lalu, di sekitar 4.7 batu nautika dari penemuan mayat pertama, semalam.

"Mangsa dipercayai Ja’afar bin Sulong, 66 tahun yang menaiki bot TFA 663 bersama Baharudin bin Abdullah, 47 tahun yang ditemui meninggal dan terapung semalam oleh nelayan tempatan. 

"Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu. Seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi proses pengecaman dan bedah siasat," katanya.

 

 

 


Tag: