• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Operasi Menyelamat, Agihan Bantuan Sedang Digerakkan - Exco

KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Kerajaan Terengganu sedang menggerakkan operasi menyelamat di beberapa daerah di negeri ini yang terjejas teruk dalam kejadian banjir gelombang kelima.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO) telah dikerah bagi melaksanakan operasi itu.

Katanya, agihan bantuan makanan turut dilaksanakan bagi memastikan mangsa-mangsa banjir yang terputus bekalan makanan tidak kelaparan.

“Semua agensi kerajaan telah digerakkan bagi menyelamatkan mangsa banjir di semua kawasan.

"Agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat ialah Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta JPKK manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat memastikan makanan di PPS mencukupi.

“Selain operasi menyelamat, pihak kita (kerajaan) turut menyalurkan bantuan keperluan makanan dan penginapan di semua pusat pemindahan,” tambah beliau ketika dihubungi UPDI hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berpesan agar rakyat Terengganu tidak panik dan sentiasa menunggu arahan daripada pihak berkuasa.  

Beliau yang kini berada di kawasan Air Putih menjangkakan paras air semakin naik dan mengingatkan penduduk sekitar bandar Chukai bersedia dengan sebarang kemungkinan. 

"Bertenang dan turuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dengan situasi banjir luar jangka ini," katanya.

Setakat ini, seramai 5,722 mangsa daripada 1,736 buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan semua daerah di Terengganu.


Tag: