• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Operasi Menyelamat Mangsa Banjir Sukar, Pasukan Terkandas

HULU TERENGGANU, 27 Februari- Operasi menyelamat mangsa banjir di Mukim Tersat dan Hulu Berang kini mengalami kesukaran kerana paras air tinggi dan deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata situasi agak kritikal ketika ini kerana banyak laluan termasuk laluan alternatif telah ditenggelami dan ditutup kepada kenderaan ringan dan berat.

Katanya, ini termasuk laluan masuk ke Kampung Lubuk Pait tidak boleh dilalui  dan beliau masih menunggu bantuan pasukan penyelamat berserta kemudahan logistik yang lain.

"Saya pun masih terkandas di sini dan sedang membantu menyelamatkan mangsa di kawasan sekitar," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, katanya sehingga ini perhubungan komunikasi masih lagi baik dan mengalami masalah membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat terkini.

Sehingga kini, hujan semakin lebat manakala paras sungai utama kini melepasi aras bahaya.