• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Operasi Padam Kebakaran KBC Selesai


Operasi pemadaman kebakaran tiga bua  tangki  menyimpan minyak mentah milik kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Sharikan Bustaman berkata, operasi itu ditutup selepas pihaknya mendapati  tiada lagi punca-punca yang boleh menyebabkankebakaran selain proses memulihkan suhu tangki yang berdekatan ke tahap normal .

Menurutnya, ekoran daripada penutupan operasi itu,  kerja-kerja penyiasatan kebakaran akan dijalankan segera mulai esok sehingga hari Khamis ini untuk mengetahui punca sebenar kepada kejadian tersebut.

"Sekiranya  kita masih gagal mengenal pasti punca kebakaran, proses penyiasatan akan diteruskan sehingga kita berpuas hati dan berjaya mengenal pasti punca sebenar kebakaran ini.

"Kita akan siasat punca kebakaran, punca kenapa kedua-dua tangki meletup dan kami juga akan membuat penyiasatan kepada mana-mana ruang tangki yang mungkin menjadi penyebab kepada berlakunya kebakaran dengan begitu pantas," katanya.




Sharikan ditemui selepas melakukan pemantauan penutupan Pos Kawalan Bomba di perkarangan kilang itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Sharikan berkata, kerja-kerja penyiasatan kebakaran itu akan dijalankan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JPBM, Edwin Galan Teruki bersama sepasukan pasukan penyiasatan dari  Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)  Putrajaya.

Sharikan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tiga hari proses pemadaman kebakaran itu.

"Kerjasama yang telah diberikan sepanjang tiga hari tersebut amatlah dihargai kerana semua pihak mengambil peranan masing-masing untuk memastikan keadaan terkawal dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya.



Insiden kebakaran tiga tangki minyak mentah berkenaan berlaku pada jam 6.15 petang, Khamis lalu sebelum ia berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Tag: