• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Operasi Pengerukan Pelabuhan Chendering Bakal Dimulakan

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Proses pengerukan akan dimulakan segera bagi mengatasi masalah pemendapan pasir yang selama ini menjadi punca Pelabuhan Chendering cetek dan menyukarkan proses mendaratkan ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini proses pengeluaran tender sedang dilakukan pihak berwajib.

"Walaupun Pelabuhan Chendering ini merupakan hak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri mengambil tanggungjawab mengatasi masalah yang berlaku ini.

"Melalui Belanjawan Terengganu 2023 telah diperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tujuan ini kerana telah dikenalpasti antara masalah utamanya adalah pemendapan pasir yang selama ini mengakibatkan kawasan pendaratan bot nelayan jadi sempit dan banyak kawasan yang cetek.

"Oleh kerana itu kita perlu keluarkan pasir dan proses untuk keluarkan tender untuk kerja-kerja pengerukan sedang berjalan dan kita yakin dalam tempoh seberapa segera ia boleh dimulakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Seminar Kelapa Terengganu 2023, di Dewan Permata, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Azman berkata, projek mendalamkan Pelabuhan Chendering di yang membabitkan penaiktarafan infrastruktur pelabuhan serta operasi menaik taraf benteng pemecah ombak pula adalah di bawah Kerajaan Persekutuan.

 


Tag: