• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ops Asap Hitam : Sembilan Pemilik Kenderaan Dikenakan Kompaun

KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Tujuh Notis Arahan dan tiga kompaun dikenakan kepada sembilan pemilik kenderaan dalam dua operasi pelepasan asap hitam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu, Ramli Abd. Rahman berkata operasi pelepasan asap hitam berasingan diadakan di Setiu dan Dungun, semalam.

Katanya, kesalahan itu dikesan melalui hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 370 kenderaan ketika dua operasi sedang dijalankan.

“Kesemua kenderaan itu telah diperiksa secara visual dan enam daripadanya telah menjalani ujian meter asap. 

“Notis arahan dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Ramli, pelepasan asap hitam berlebihan berisiko memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia serta alam sekitar udara dan kualiti udara sekeliling.

“pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.

“Di samping mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.

Jelasnya lagi, seramai 12 anggota penguatkuasa dari Unit Kenderaan Bermotor JAS negeri Terengganu dan 10 pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu serta daerah Dungun terlibat dalam operasi tersebut.

 

 

 


Tag: