• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ops Bonceng : Amaran Kepada Pasangan Belum Nikah

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu melalui bahagian penguatkuasa dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Terengganu telah menjalankan operasi Ops Bonceng bertempat di Kuala Berang baru-baru ini.

Penolong Operasi, Rizuan Fauzai berkata pada peringkat awal mereka yang ditahan pada operasi tersebut diberi amaran dan surat hadir ke pejabat agama untuk langkah pencegahan.

Katanya, operasi yang turut melibatkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu menyasarkan pasangan yang membonceng motosikal dan menaiki kereta tanpa sebarang ikatan sah, selain kesalahan jalan raya biasa.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Mereka yang ditahan pada operasi tersebut adalah di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) Terengganu iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam," jelasnya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Tambah Rizuan, Ops Bonceng pada kali ini menujukkan kadar penurunan sebanyak 90 peratus berbanding sebelumnya.

“Melihat kepada penurunan ini membuktikan bahawa masyarakat kini mula sedar akan kesalahan jenayah syariah tersebut," ujarnya.

Sementara itu, ibu bapa dan ahli keluarga perlulah memantau aktiviti anak-anak agar ia selari dengan syariah.

"Ops Bonceng ini akan diteruskan lagi bagi membendung kesalahan tersebut supaya tidak berlaku lagi di Terengganu dan untuk kepentingan generasi akan datang ," katanya.

 


Tag: