• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ops Selamat:1,700  Saman Pandu Laju Dikeluarkan Di LPT2

HULU TERENGGANU, 3 Februari - Polis Terengganu mengeluarkan 1,700 notis saman atas kesalahan memandu melebihi had laju di Lebuh Raya Pantai Timur 2(LPT 2) bagi tempoh enam hari sejak Jumaat lalu dalam Ops Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, jumlah saman yang dikeluarkan menunjukkan masih ramai 
pengguna gagal mematuhi peraturan had laju ditetapkan yang boleh mengundang risiko kemalangan.

“Kita melakukan pemantauan di dua lokasi strategik yang kerap kemalangan iaitu di LPT 2 dan Kilometer 35 Kuala Berang-Ajil di sini yang merupakan jalan persekutuan.

"Jumlah itu sebenarnya tinggi bagi kesalahan di laluan LPT2 yang terletak di daerah berkenaan.Oleh itu, kita berharap pengguna jalan raya memandu secara lebih berhemah demi keselamatan mereka serta pemandu lain,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu penguatkuasaan trafik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan bermula jam 4 petang, sebanyak 320 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu.

Jelas beliau, antara kesalahan paling tinggi pada kali ini adalah penggunaan plat fancy yang menyalahi peraturan JPJ.

"Dalam masa yang sama, masih ramai pemandu gagal memantau lampu break ketiga menyala atau tidak yang boleh menimbulkan masalah dari aspek keselamatan termasuk boleh menyebabkan kemalangan.

"Disamping itu, kita mengesan pemandu kenderaan gagal sambung lesen memandu dan juga ada yang tidak memiliki lesen," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 13 kes kemalangan dilaporkan berlaku di Hulu Terengganu  namun tidak ada kemalangan jiwa direkodkan.

Terdahulu, dilaporkan 37,836 kenderaan menggunakan LPT2 dan jumlah itu tidak termasuk kenderaan lain yang menggunakan jalan persekutuan.