• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Optimis Capai 20,000 Penerima Kad Sejahtera Fasa 2 April Ini

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri optimis sasaran 20,000 penerima Kad Sejahtera bagi fasa kedua berjaya dicapai April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setakat ini seramai 18,181 penerima baharu telah dikenalpasti.

Katanya, pemilihan pada kali ini diuruskan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai agensi pelaksana program.

"Hari ini, kita telah menandatangani perjanjian pengurusan Kad Sejahtera antara pihak TSIS yang mewakili kerajaan negeri dengan pihak Selcare Management Sdn. Bhd yang diberi kepercayaan untuk menguruskan program Kad Sejahtera.

"Melalui perjanjian ini, program Kad Sejahtera Terengganu bakal beroperasi pada skala penuh dengan jangkaan 20,000 penerima faedah daripada pelbagai latar belakang di negeri ini, dengan limitasi tertakluk kepada pendapatan isi rumah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kad Sejahtera TSIS dan Selcare Management Sdn. Bhd di Ibu Pejabat TSIS, hari ini.

Pada majlis tersebut, TSIS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Wan Mat Sulaiman manakala Selcare Management Sdn. Bhd diwakili Pengerusi dan Pengarahnya, Noor Hisham Mohd Ghouht.

Menurut Alias, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.

"Mereka yang layak akan menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10 juta setahun.

"Sehingga kini, kira-kira 60 klinik menawarkan perkhidmatan Kad Sejahtera ini dan kita sangat mengalu-alukan lebih banyak lagi yang akan turut bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam mendapatkan rawatan kesihatan terbaik," ujarnya.

Katanya, pelaksanaan kad sejahtera fasa pertama bermula pada Julai 2019 hingga Julai 2020 telah memberi manfaat kepada 12,126 penerima di seluruh negeri Terengganu.