• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Optimis Program 'Bina Insan' Buah Hasil Lumayan

KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu optimis program pembinaan insan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini mampu membuahkan hasil lumayan di masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, program yang disusun itu akan gagal sekiranya rakyat tidak mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan.

"Apa yang paling penting sekali saya harap agar rakyat Terengganu mengambil manfaat daripada ilmu yang disampaikan pada majlis-majlis ilmu, dan akhirnya rakyat beramal dengan ilmu yang ada seterusnya membuahkan 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghaffur', insya-Allah.

"Hal ini kerana, impian besar kerajaan bukan sahaja negeri maju dalam apa jua bidang, tetapi yang besarnya adalah berkat daripada Allah SWT," ucap beliau dalam Majlis Perasmian Tausiyah Dhuha Daie bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari di Duyong Marina Resort, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ridzuan Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor.

Tambah Mohd Nor, pihaknya melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah menyusun pelbagai program dan aktiviti untuk membangun masyarakat bersama Islam di setiap kampung, mukim dan daerah

"Kita membawa pendekatan dakwah yang pelbagai yang insya-Allah diterima pelbagai pihak," jelasnya.

Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri seramai hampir 200 peserta itu menerima perkongsian ilmu secara langsung daripada Syeikh Nuruddin.


Tag: